Mencari Melayu di Capetown [bahagian 4: Perkahwinan (Wedding)]

Saya sempat menghadiri majlis perkahwinan orang Melayu di sini iaitu Malika, berumur 26 tahun dan merupakan anak perempuan kepada seorang kenalan host saya.  Semasa bertemunya buat pertama kali dirumahnya beberapa hari sebelum hari perkahwinannya, dia memberitahu bahawa dia membuat keputusan untuk berkahwin minggu lalu dan akan berkahwin dalam masa seminggu sahaja. Terkejut dengan jawapannya, Malika memberitahu bahawa dia yakin dengan keputusannya kerana telah mengenali bakal suaminya selama setahun. Walaupun hanya berkawan biasa, apabila menerima ‘lambar’ (lamaran) dari keluarga Shahid, beliau terus menerimanya. Mereka tidak di ‘unang’ (bertunang) tetapi terus berkahwin pada minggu tersebut.

I had the opportunity to attend a Malay wedding here , Malika, 26 years old is the daughter of my host friend. When I met her for the first time at her house before the wedding, she told me that she just decide to accept the marriage proposal last week and will get married in a week time. Surprised by her answer, Malika told me that she is confident with her decision after knowing her future husband for about a year. Although they were just friends, when the ‘lambar’ @ arriage proposal came from Shahid family, she instantly accepts it. They did not get engaged but got married in that week.

Walaubagaimanapun, saya sempat bertanya neneknya mengenai cara orang Melayu disini berkahwin. Menurut neneknya, setiap pasangan yang hendak berkahwin akan melalui proses ‘Lambang’(di sebut: Lambar)  iaitu melamar yang diwakili oleh ibu bapa dan keluarga sebelah lelaki. Kemudian mereka ditunangkan mengikut tempoh yang dipersetujui yang dipanggil ‘Unang’ yang diadakan semasa ‘Lambang’. Hanya ketika ini pasangan yang bertunang akan bertukar hadiah. Kemudian, mereka akan dinikahkan dan disandingkan pada hari yang sama di rumah pengantin perempuan sebelum dijemput ke rumah pengantin lelaki oleh ‘Hujaj’(pakaian yang dipakai oleh ahli keluarga perempuan yang pernah menunaikan Haji).

Nevertheless, I did get to ask her grandmother about how the Malay wedding. According to her grandmother, every couple who will be getting married will go through the ‘lambang’ process, the parents and family from the Men’s side will come to propose. Then, they will get engaged for a certain time agreed by both family, called ‘Unang’ which is held during ‘Lambang’. Only during this time, they will exchange gifts. Then, they will be married and have their reception on the same day at the Bride’s house before she is invited to the Groom’s  house by the Hujaj’s (a dress worn by the female relatives who have gone for Hajj)

Jemputan @ ‘unang’ (bermaksud: Undang, turut digunakan untuk merujuk bertunang) ke majlis perkahwinan dibuat oleh pasangan yang akan berkahwin, bakal pengantin baik lelaki mahupun perempuan akan menjemput ahli keluarga mereka dari rumah ke rumah dengan ditemani pengapit masing-masing secara berasingan. Setiap kali mereka menjemput ahli keluarga mereka ke majlis perkahwinan, mereka akan meminta agar didoakan perkahwinan yang bakal dibina.

Invitation or Unang (the word carries the same meaning for Undang, also to refer engagement) to the wedding are made by the couple, the to be Bride & Groom will separately invite from house to house with their groomsmen or brides maid.Every time they invite their family member or relatives to their wedding, they will ask for Doa to be made for their marriage.

Menurut host saya, amat penting bagi pasangan yang bakal berkahwin untuk menjemput ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan dari rumah ke rumah kerana apabila mereka menjemput secara personal, kerana saudara mara yang kita jemput hanya tahu kita akan berkahwin apabila kita sendiri yang memaklumkannya. Masa inilah, orang muda akan dapat mengenali saudara mara yang lebih tua serta melawat saudara mara mereka yang jauh dan dekat.  Setelah mengetahui tentang berita gembira tersebut, saudara mara akan mendoakan perkahwinan kita secara personal. Baginya doa dan mendoakan seseorang adalah amat penting kerana apabila perkahwinan tidak dimulakan dengan doa, disebabkan itu perceraian banyak berlaku  kerana tidak ramai orang yang mendoakan perkahwinan mereka.

According to my host, it is important that both couple invite their family members, neighbours and freinds from house to house because when we invite them personally, our relatives only know that we are getting married from our own mouth. During this time, the young generation can get to know the older generation like their aunts and uncles and get to visit their relatives far and near. After knowing the good news, their  relatives will make doa for their marriage personally. To him, doa and making doa for others is important because when a marriage did not start with doa, divorce can happen a lot, because not many people is making doa for their marriage.

Tradisi menjemput ini bukan saja mengukuhkan silaturahim sesama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan tetapi mengembalikan semula amalan mendoakan sesama kita. Ini kerana, lebih ramai orang yang kita jemput lebih ramai yang mendoakan perkahwinan tersebut. Lantas, perkahwinan akan menjadi lebih berkat dan berkekalan lebih lama kerana ramai yang mendoakan perkahwinan yang bakal didirikan.

The tradition to invite don’t just strengthen’s the relationship between family, neighbours and friends, but also brings back the tradition to make doa for each other. Because, the more people we invite, the more people will make doa for us. Thus, the marriage becomes more blessed and last longer because there are more people making doa for their marriage.

Perkara ini dipersetujui oleh nenek Malika kerana beliau merasakan orang muda sering mengambil jalan mudah dengan menjemput melalui media sosial (whatsapp, facebook dsb) hinggakan hampir tidak ada interaksi sesama manusia (human communication). Baginya, manusia zaman sekarang semakin bersikap individualistik berbanding zaman dahulu yang sangat menjaga hubungan kekeluargaan dan nilai-nilai kekeluargaan ini semakin hilang dalam masyarakat masa kini.

Menurutnya, apabila menjemput tetamu dari rumah ke rumah, mereka dapat mengenali saudara -mara yang jarang mereka jumpa. Ketika inilah, ahli keluarga akan menawarkan diri untuk membantu apa sahaja yang diperlukan oleh pasangan tersebut. Sebagai contoh, ada ahli keluarga yang akan menolong membuat masakan tertentu untuk majlis mereka, ada yang akan membantu dalam menghias pelamin, dan sebagainya. Semangat gotong-royong masih kekal diamalkan oleh orang Melayu disini dan tidak ramai yang menempah ‘catering’ kecuali mereka berkemampuan.

Hadiah akan diberikan sebelum hari perkahwinan mengikut masa yang tetamu dan ahli keluarga ada untuk datang ke rumah keluarga pengantin. Oleh kerana kebanyakan tetamu adalah ahli keluarga dan saudara mara mereka sendiri, hadiah-hadiah di berikan beberapa hari sebelum majlis perkahwinan semasa mereka datang menolong. Hadiah ini akan dipamerkan di satu ruang khas di dalam rumah.

Menariknya, orang Melayu disini tidak meletakkan wang hantaran, tetapi bakal suaminya diwajibkan mempunyai sebuah rumah berserta semua kelengkapan asas serta perabot perlu disediakan sebelum berkahwin. ‘Maqawi’( disebut: Maskawi) @ mas kahwin berbeza-beza mengikut kemampuan pasangan masing-masing. Dahulu, mas kahwin orang Melayu hanya 5 Rand ke atas yang dipersetujui oleh keluarga masing-masing. Salah seorang anak kepada host saya turut berkongsi bahawa dia memberikan 13 keping syiling Dirham Perak kepada isterinya.

*Gambar mas kahwin yang diberikan oleh anak host saya kepada isterinya.

Akad nikah akan diadakan di masjid tetapi hanya pengantin lelaki, wali, jurunikah, dua orang saksi dan orang lelaki  sahaja yang akan menghadirinya manakala pengantin perempuan akan menunggu di rumah. Setelah akad nikah  selesai, pengantin lelaki berserta rombongannya akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk menyarungkan cincin dan ucapan ‘Slamat’ kepada pengantin baru akan diberikan oleh tetamu yang hadir sebelum makanan dihidangkan. Makanan yang dimakan di majlis perkahwinan biasanya dimasak dan dibawa ke majlis perkahwinan. Jenis makananan yang perlu dibawa akan diputuskan semasa ‘Masura’ (mesyuarat) sesama keluarga manakala pinggan mangkuk akan dipinjam dari saudaramara terdekat. Hanya keluarga yang kaya sahaja yang akan menyewa dari kedai yang berdekatan. Sepasang cawan porselin yang cantik dan keemasan seperti cawan dari Mekah akan digunakan untuk di minum oleh pengantin.

Pernikahan di Capetown amat mudah, mereka hanya perlu mendapatkan Imam di masjid terdekat untuk menikahkan mereka, biasanya keluarga pengantin perempuan akan memilih Imam yang hendak menikahkan mereka bagi memudahkan urusan. Saya diberitahu, jika kita dijemput ke kenduri kahwin orang Melayu disini pada minggu tersebut bermakna ia adalah majlis yang kecil,biasanyadi adakan di rumah. Keluarga Malika contohnya menjemput sekitar 200 tetamu sahaja manakala jika kita dijemput sebulan dari sekarang, ini menunjukkan ia adalah majlis secara besar-besaran yang diadakan di dewan.

Semasa hari perkahwinan, orang Melayu dahulu sering memainkan muzik dan ada juga yang akan menyanyi lagu Melayu sebelum majlis dimulakan antaranya lagu ‘Rosa’, ‘Havanas’, tetapi kebanyakannya dipengaruhi oleh lagu dari Belanda. Lagu ‘Rosa’ biasanya dinyanyikan semasa pengantin tiba ke majlis. Adakalanya ada kumpulan choir Melayu yang menyanyi di hari perkahwinan.

Contoh choir Melayu yang menyanyikan lagu ‘Rosa’:

Menurut host, zaman sekarang, tidak ramai yang menyanyi di majlis perkahwinan atau memasang lagu di majlis perkahwinan kerana menganggapnya bidaah. Lantas majlis perkahwinan adalakanya menjadi sunyi atau di isi dengan ceramah sahaja. Majlis perkahwinan menjadi suram dan tidak lagi meriah seperti zaman dahulu, sedangkan perkahwinan seharusnya diraikan seperti yang diamalkan semasa zaman Rasulullah SAW.

Pada hari yang sama, pengantin lelaki akan menjemput pengantin perempuan ke rumah ibu dan bapanya untuk mengucap ‘Slamat’ kepada mentuanya. ‘Trousou’ (di sebut Tru-so) atau hadiah-hadiah dari tetamu akan dipamerkan di bilik pengantin. Ramai orang Melayu dahulu kala yang masih menyimpan ‘Trousou’ perkahwinan mereka.

*Contoh pakaian pengantin lelaki Melayu dahulu dan pengapitnya.

*Contoh Midora yang dipakai oleh pengantin perempuan Melayu dahulu bersama pengapit mereka.

‘Midora’ atau hiasan kepala akan dipakai oleh pengantin perempuan, midora ini hanya boleh dipakai oleh anak dara sahaja dan tidak boleh dipakai oleh janda. Namun, pemakaian Midora semakin kurang dipakai oleh pengantin masa kini dan digantikan dengan ‘veil’ atau tiara/mahkota.

Wanita ‘hujaj’ (Saudara perempuan yang pernah menunaikan haji) akan menjemput pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki dengan memakai ‘Modurieng’ (disebut mu-dier-rang) yang berwarna keemasan  yang dibeli dari Mekah setelah pulang dari haji. Ada yang memakai dengan menutup seperti purdah, ada yang tidak menutup wajah mereka dan pakaian ini masih boleh diperolehi dari Mekah. Adakalanya wanita ‘hujaj’ ini turut memakainya semasa Maulud selain dari menjemput pengantin perempuan.

Apabila tiba di rumah pengantin lelaki, wanita Hujaj akan berselawat manakala imam akan membacakan doa diikuti dengan nasihat dari ibu bapa pengantin mengenai peranan suami dan isteri serta cabaran dalam alam perkahwinan. Sebagai contoh, ibu bapa pengantin akan menasihatkan anak mereka mengenai pentingnya berbincang sesama pasangan dan tidak terbawa-bawa masalah rumah tangga  hingga ke luar rumah atau menghebohkannya kepada seluruh dunia. Mereka juga akan dinasihatkan agar saling menghormati antara satu sama lain. Biasanya, bapa kepada setiap pasangan pengantin akan memberi nasihat tersebut kepada anak mereka. Jika pasangan tersebut tidak mempunyai bapa, bapa saudara mereka yang akan memberi nasihat dan jika tidak ada bapa saudara, maka Imamlah yang bertanggungjawab memberi nasihat kepada pasangan pengantin.

Setelah itu, wanita ‘Hujaj’ mempersiapkan pengantin perempuan dan menjaga keperluan pasangan pengantin selama 7 hari.  Wanita Hujaj ini akan datang ke rumah keesokan pagi untuk memeriksa dan mengemas bilik pengantin dan rumah mereka, memandikan pengantin, memasak dan menghantar makanan ke rumah pengantin bagaikan Raja 7 hari.

‘Walimah’ atau kenduri kahwin akan diadakan dari pagi hingga ke petang, tetamu akan diberikan sarapan dan makan tengahari. Manakala pengantin akan memakai dua pasang baju iaitu semasa ‘nikkah’ dan selepas zohor di waktu petang. Tetamu tidak akan makan sehingga pengantin tiba dan biasanya hanya pulang apabila majlis selesai dan diakhiri dengan selawat. Menurut host, ketika sedang berselawat, kain ‘shawl’ di pakaikan kepada pengantin perempuan dan mereka akan saling memeluk ibu bapanya tanda melepaskan anak perempuan mereka kepada suaminya.

Semasa menghadiri kenduri kahwin Malika, kami tiba sekitar 10 pagi. Ketika itu, saudara mara Malika kelihatan sibuk menyiapkan makanan untuk tetamu bersarapan. Meja-meja telah siap dihias di dalam dan di luar rumah berserta set pinggan mangkuk dan bunga di setiap meja. Pelamin juga telah siap dihias manakala Malika sedang memakai gaun pengantinnya yang dibantu oleh ibunya. Kemudian, salah seorang rakannya membantunya memakai tudung dan veil diatasnya. Sebahagian besar ahli keluarga lelaki telah pergi ke masjid untuk menyaksikan akad nikah manakala yang selebihnya sibuk membantu di dapur.

Apa yang dapat saya perhatikan, perkahwinan orang Melayu banyak dipengaruhi oleh Barat dan Timur disebabkan asimilasi budaya. Pengantin lelakinya tiba dengan memakai jubah dan kopiah manakala pengantin perempuan memakai gaun pengantin. Malika sendiri tidak memakai Midora seperti di zaman ibu dan neneknya. Namun,  Imam  yang menikahkan mereka turut hadir untuk mendoakan perkahwinan mereka di awal majlis.

*Saya bersama Malika setelah siap memakai gaun pengantinnya.

Pelaminnya juga agak ‘simple’ tetapi tetap cantik, dan satu meja khas untuk pengantin dan ibu bapa pengantin makan beradab turut disediakan. Selain itu, sesi bergambar turut dibuat bermula dengan ahli keluarga, saudara mara dan akhirnya sahabat handai. Kemudian, bapa Malika menari bersama Malika dengan alunan lagu romantis dari Barat sebelum kembali ke tempat duduk masing-masing.

Oleh kerana kami perlu pulang lebih awal, kami meminta diri untuk pulang awal dan diberikan beberapa jenis kek sebagai ’baraka’ atau berkat untuk dibawa pulang.

Dalam perjalanan pulang,host saya turut menceritakan bahawa dahulu orang Melayu disini tinggal berdekatan dengan keluarga mereka. Oleh itu, majlis perkahwinan mudah untuk diadakan kerana masing-masing tinggal tidak jauh antara satu sama lain dan saling bergotong royong menyiapkan majlis. Sebaliknya zaman sekarang, orang Melayu tinggal berjauhan dan menyebabkan beban perkahwinan terletak pada pasangan pengantin tersebut. Ini menyebabkan kos mengadakan kenduri kahwin semakin tinggi untuk diadakan hingga adakalanya, jika di adakan di hotel , hanya dua orang sahaja yang boleh menghadiri majlis tersebut. Kadang-kadang ada tetamu yang tidak dapat hadir ke majlis tersebut tetapi oleh kerana keluarga pengantin telah membayar untuk majlis tersebut,banyaktempat duduk yang kosong hingga menyebabkan pembaziran makanan. Oleh kerana ramai pasangan yang memilih untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka sendiri kerana mahu berdikari dan tidak mahu bergantung kepada keluarga mereka, banyak perkara dalam hidup mereka menjadi semakin mahal termasuk kos majlis perkahwinan.

Menurutnya, jika warisan dan budaya kita kekal diamalkan, kos  hidup kita akan berkurangan. Sebaliknya, jika kita tidak meneruskan budaya dan warisan kita, kos hidup kita akan menjadi semakin mahal. Setiap perkara yang hendak kita lakukan kini perlu dilakukan sendiri dan disebabkan itu majlis perkahwinan menjadi semakin mahal.

Host saya, Abdullah berpendapat bahawa beliau tidak dapat melihat keberkatan dalam majlis perkahwinan masa kini. Menurutnya, amalan dan budaya kehidupan orang Melayu sangat berkait dengan doa dalam setiap aspek kehidupan mereka. Ini menunjukkan orang Melayu sangat peka dengan agama Islam dan dekat dengan Allah swt di setiap amalan mereka. Kerana itu beliau berbangga menjadi orang Melayu kerana apa saja yang orang Melayu lakukan akan berbalik kepada Allah swt, sebagai seorang muslim , setiap perkara yang orang Melayu lakukan akan bermula dengan doa samada di hari perkahwinan mahupun hari pengebumian. Oleh itu, apabila hilangnya amalan dan budaya orang Melayu, maka hilanglah juga keberkatan dalam kehidupan masyarakat Melayu yang saling mendoakan di setiap majlis yang diadakan.

* Contoh majlis perkahwinan orang Melayu  dahulu 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s