Mencari Melayu di Capetown (bahagian 1)

14329976_1467504976599125_6953612733102059856_n

  • Pada 23 September kami tiba di Capetown, di sambut oleh Pak Gielmi (Hilmi), Faghrie, dan Abdullah Waggie, orang Melayu di Capetown yang merupakan keturunan dari orang Melayu yang dibuang ke Capetown oleh Belanda sekitar abad ke 17. Di South Africa, mereka dikenali sebagai ‘Cape Malay’ namun kebanyakan orang Melayu disitu lebih gemar dikenali sebagai orang Melayu. Hal ini kerana ‘Cape Malay’ merupakan definisi penjajah Belanda dan British terhadap orang Melayu dan pebagai bangsa lain yang beragama islam contohnya India muslim. Namun, orang Melayu disini berasal dari kepulauan Melayu sebelum dipisahkan oleh sempadan Negara melalui penjajahan sebelum terbentuknya Malaysia dan Indonesia.

 

  • Saya mendapat undangan untuk tinggal bersama keluarga Abdullah Waggie menerusi program ala homestay, di mana saya tinggal di rumahnya dan beberapa rumah orang Melayu disana bagi membolehkan saya mengenali dengan lebih dekat budaya orang Melayu disana. Bersama saya, saya turut membawa ibu, ibu saudara dan bapa saudara saya serta dua orang sahabat baik saya yang turut berminat mengenali budaya orang Melayu disana selain membantu saya mempromosikan budaya orang Melayu dari Malaysia. Antaranya, mengadakan ‘charity sale’ dengan menjual baju kurung yang terpakai dan baju Batik Sarawak serta tudung dari Malaysia. Hasil jualan kami dermakan kepada sekolah orang Melayu yang dikendalikan oleh Abdullah Waggie.

 

  • Untuk dua minggu pertama, kami tinggal di Constantia, yang terletak berdekatan kawasan ladang anggur yang juga digunakan sebagai tempat sambutan Festival Warisan Budaya Melayu atau Annual Malay Cultural Heritage Festival 2016. Festival ini  dianjurkan oleh Persatuan Melayu Cultural Heritage Society South Africa selama 5 tahun semenjak 2011. Festival ini merupakan antara usaha memartabatkan dan mempromosikan warisan dan budaya orang Melayu dalam kalangan orang Melayu di Capetown serta orang tempatan sempena ‘Heritage Day’ yang diadakan setiap 24 September. Namun, tarikh festival ini berubah-ubah bergantung kepada perancangan penganjur. Kebetulan saja tahun ini festival ini diadakan pada hari yang sama Heritage Day diadakan kerana ia jatuh pada hari minggu.

 

  • Pada hari ‘Melayu Cultural Heritage Festival 2016, pelbagai program telah diadakan antaranya demo masakan Cape Malay oleh Salwaa Smith, seorang blogger Melayu  & penulis buku resipi masakan Cape Malay.

 

 

  • Selain itu, satu pertandingan ratu cantik yang dinamakan ‘Face of Melayu’ telah diadakan di mana anak-anak muda Melayu yang terpilih untuk bertanding akan diuji melalui komitmen mereka dalam mempromosikan budaya orang Melayu dan pengatahuan mereka tentang sejarah dan warisan Melayu atau keluarga mereka sendiri. Pemenang yang terpilih akan melawat Malaysia & Indonesia bagi mengenali budaya orang Melayu di mana asalnya orang Melayu.
  • Dalam pertandingan itu, Khadija De Roos,  19 tahun,  yang merupakan campuran Melayu dan India telah muncul juara. Apabila saya bertanya kepada mereka apakah makna ‘Melayu’ kepada diri mereka, beliau menyatakan bahawa

 Melayu adalah asal usul nenek moyang saya dan saya dibesarkan oleh ibu bapa saya”

 -Khadija De Roos

 

Bekas juara tahun 2015, Maryam Agherdien berketurunan Melayu dari Pulau Pinang turut bersetuju dengan beliau dan menyatakan bahawa

“….orang muda tahu tentang asal-usul mereka Cuma mereka perlu diingatkan semula tentang perlunya mengetahui asal-usul mereka dan kepentingan warisan dan budaya mereka”.

Khadija, kiri bersama pemenang tahun lalu, Maryam. Berbeza dari pertandingan ratu cantik yang lain, Khadija dikalungkan rantai emas bagi menggantikan mahkota.

  • Semua finalis akan terus bertanding untuk pertandingan tahun depan secara automatik. Sepanjang pertandingan tersebut, peserta yang terpilih dibawa ke radio tempatan untuk menceritakan tentang penglibatan mereka dalam pertandingan ‘Face of Melayu’ dan aktiviti yang perlu dilakukan. Mereka juga turut memperagakan pakaian orang Melayu dari Malaysia dan Indonesia seperti baju kurung yang kami bawa untuk jualan amal dan pakaian tradisional orang Indonesia dari pelbagai etnik. Peserta juga turut memakai pakaian dari pereka Melayu tempatan yang terlibat dalam pertandingan tersebut.

 

  • Finalis memakai pakaian orang Melayu dari Indonesia yang dibawa oleh kedutaan Indonesia.

 

Finalis F.O.M memakai baju kurung yang digunakan untuk jualan amal.

Selain itu, satu demonstrasi cara pemakaian ‘Midora’ iaitu sejenis hiasan kepala yang dipakai oleh orang Melayu disini semasa perkahwinan. Oleh kerana ramai orang Melayu yang bekerja di bawah colonial barat, maka sebahagian dari cara pemakaian baju dan makanan orang Melayu turut dipengaruhi oleh Barat. Oleh itu, pernikahan orang Melayu akan mengikut cara orang Islam tetapi pengantin perempuan akan memakai gaun dan ‘Midora’ sebagai hiasan kepala manakala pengantin lelaki akan memakai tuksedo.

 

 

 

  • Temuramah oleh media tempatan ‘Itv’, dari Johannesburg mengenai pengalaman menyertai festival tersebut  dan lawatan saya ke Capetown.

 

 

  • Jualan makanan dan barangan

 

 

Pameran  sejarah orang Melayu dan koleksi gambar keluarga orang Melayu serta jenis-jenis ‘topi’ yang dipakai oleh orang Melayu dahulu turut dipamerkan di Melayu Cultural Heritage Festival.

 

Antara gambar yang menarik dipamerkan ialah gambar pekerjaan orang Melayu ketika itu yang mahir dalam pelbagai bidang antaranya ilmu pertukangan seperti perabut, menjahit baju, dan menangkap ikan. Tidak ramai yang mengetahui bahawa banyak bangunan di Capetown sebenarnya dibina oleh orang Melayu semasa zaman kolonial Barat. Ramai orang Melayu ketika itu memakai topi merah yang dipanggil ‘Fez’ dari Morocco.

 

 

 

  • Turut dipamerkan, pakaian orang Melayu khususnya golongan wanita yang pulang dari Mekah yang dinamakan ‘Hujaj’. Pakaian ini dibeli dari orang Melayu yang menjualnya di Mekah dan dipakai setelah mereka kembali dari Mekah. Pakaian ini turut di pakai semasa majlis perkahwinan orang Melayu di mana saudara-mara (biasanya orang yang lebih tua) yang pernah mengerjakan ibadah haji dari sebelah pihak pengantin akan menjemput pengantin perempuan ke rumah baru yang dibeli oleh pengantin lelaki. Menurut orang Melayu disini, apabila seorang lelaki ingin berkahwin , mereka perlu menyediakan rumah dan segala kelengkapan asas dalam rumah tersebut. Oleh itu, walaupun tidak mempunya hantaran berbentuk wang ringgit dan hanya mas kahwin serta apa sahaja hadiah yang dipersetujui semasa lamaran dibuat, bakal suami perlu memastikan bahawa dia mempunyai sebuah rumah untuk tinggal bersama selepas berkahwin mengikut kemampuannya. Menariknya, selama 7 hari, ‘hujaj’ ini akan datang ke rumah pengantin baru dan memasak serta mengemas rumah bak raja sehari. Bezanya, mereka ini diraikan selama 7 hari dimana pengantin baru tidak perlu berbuat apa-apa dan menikmati layanan istimewa oleh hujaj-hujaj yang datang ke rumah mereka!

 

  • Oleh kerana hubungan yang rapat antara komuniti Melayu disini, kebanyakan persiapan perkahwinan akan dibantu oleh sanak saudara yang akan menawarkan diri untuk menghias atau memasak masakan atau minuman untuk majlis perkahwinan sama seperti orang Melayu dahulu. Malah, apabila ingin mengundang tetamu ke majlis perkahwinan mereka, bakal pengantin baik yang lelaki mahupun perempuan akan melawat saudara-mara terdekat dan meminta agar didoakan perkahwinan mereka. Secara tidak langsung, ia membolehkan bakal pengantin mengenali saudara-mara dengan lebih rapat dan mengukuhkan hubungan keluarga. Setiap bakal pengantin akan ditemani pengapit masing-masing tanpa ditemani oleh ibu bapa mereka dan menjemput saudara-mara mereka ke majlis perkahwinan mereka.

  • Selain itu, saya turut melihat gambar ‘Rampies’ yang merupakan satu amalan memotong Bunga Rampai yang diubahsuai dengan memotong bunga-bunga tempatan, daun oren atau lemon sebelum diasapkan dengan setanggi dan dibungkus kedalam sampul yang kecil semasa malam Maulud Nabi. Sampul ini kemudiannya diberi kepada tetamu lelaki yang datang ke majlis tersebut

  • Turut dipamerkan, manuskrip kitab lama bertulis tangan yang masih disimpan oleh keluarga orang Melayu di Capetown

 

  • Selain dari itu, satu persembahan nasyid oleh anak-anak muda Melayu berusia sekitar 16 hingga 19 tahun. Mereka menyanyikan selawat dan qasidah yang sering dinyanyikan oleh orang Melayu disana.

 

 

  • Semasa festival tersebut, kami juga mengadakan jualan amal dengan menjual baju kurung terpakai dan batik Sarawak serta tudung yang kami bawa dari Malaysia. Hasil jualan kami dermakan sepenuhnya kepada sekolah Ieglaasi Nieyah yang majoritinya dihadiri oleh anak-anak Melayu di Mitchell’s Plain.

 

Sahabat saya, Qistina dan adiknya, Asila yang membantu menjual baju kurung Melayu dan tudung yang disumbangkan oleh pelbagai pihak dari Malaysia termasuk koleksi baju kurung kami sendiri.

Untuk festival itu, kami turut mendemonstrasikan cara pemakaian sampin dan baju kurung Melayu.

Menariknya, sejurus selepas itu, saya turut diperkenalkan kepada Aminah yang pernah datang ke Malaysia untuk belajar cara membuat baju kurung Melayu sekitar tahun 90-an dan masih mengajar teknik membuat baju kurung kepada pelajar kursus menjahit dan fesyen di sini.

 

Festival ini bermula seawal 10 pagi dan berakhir sekitar 5 petang dan turut dihadiri oleh wakil dari kedutaan Indonesia yang turut menyertai festival ini.

Walaupun jumlah orang Melayu di sini nampak kecil namun kesan dan pengaruh orang Melayu di Capetown amat besar sumbangannya terutama dalam perkembangan Islam di Afrika Selatan. Hal ini kerana, walaupun orang Melayu yang dibawa kesini ‘dibuang’ bagi membendung pengaruh Islam dan penentangan orang Melayu terhadap penjajah Belanda di kepulauan Melayu. Sebaliknya telah berlaku di mana ia menjadi titik permulaan  dimana berkembangnya Islam di Afrika Selatan khususnya di Capetown yang akan saya ceritakan dalam siri seterusnya. Sebagai orang Melayu, saya amat terharu melihat betapa bangga dan tingginya rasa cinta dan semangat orang Melayu di Capetown akan warisan dan budaya mereka sendiri. Walaupun mereka ‘terputus hubungan’ dari kepulauan Melayu kerana tidak dibenarkan pulang ke tanah air mereka lebih 300 tahun lamanya, namun darah kemelayuan dan semangat orang Melayu terhadap identiti, sejarah, warisan dan budaya yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Bak kata pepatah, “Benih yang baik, jika dicampak ke laut menjadi pulau” begitulah salah satu sifat orang Melayu, yang mana, walau sejauh mana ‘dibuang’ oleh Belanda tetapi kerana sekiranya baik budi pekerti  seseorang Melayu itu akan terus memberi sumbangan dan menabur budi walau di mana  mereka berada.

Nota: Sebahagian gambar belum sempat dimuat naik. Anda boleh mengikuti travelogue saya melalui instagram: @mencarisakiinah

https://www.instagram.com/mencarisakiinah 

 

Bersambung…..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s