Mungkinkah Georgetown kehilangan status sebagai ‘Tapak Warisan Dunia’ dari UNESCO?

Umum mengetahui bahawa Georgetown telah digazetkan sebagai sebuah tapak warisan dunia oleh United Nation Educational Scientific Organization (UNESCO ) semenjak 7 Julai 2008. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa semakin ramai penduduk asal yang tinggal di Georgetown kini semakin terancam dan terpaksa keluar dari Georgetown kerana tidak lagi mampu membayar sewa yang tinggi. Seorang penyewa backpackers di Georgetown menyatakan bahawa beliau menyewa satu bangunan tersebut dengan harga RM10,000 sebulan. Menurut ,Pengerusi Penang Heritage Trust, Khoo Salma Nasution, semenjak Georgetown mendapat status warisan tersebut, pelancongan di kawasan Georgetown semakin meningkat. Namun, ia juga menyebabkan penduduk asal Georgetown terpaksa keluar disebabkan sewa yang tinggi. Jumlah penduduk di Georgetown dijangka akan menurun ke bawah 10,000 orang , jumlah penduduk di Georgetown menurun dari 10,159 orang pada tahun 2009  kepada 9,245 orang pada tahun 2013. Sedangkan pada kriteria UNESCO, budaya dan tradisi Georgetown merupakan dua daripada tiga ‘Outstanding Universal Value’ (OUV) iaitu Nilai universal yang ketara yang membolehkan Georgetown mendapat status tapak warisan dunia  (sumber: malaymailonline).

Dalam bukunya bertajuk “The Sustainable Penang Initiative: Creating State society Partnership For Sustainable Development”, pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1966 yang dahulunya membolehkan penduduk Georgetown menyewa pada kadar yang murah kepada penduduk yang berpendapatan rendah telah menyebabkan ramai peniaga kecil terpaksa berpindah keluar disebabkan kenaikan sewa yang tinggi oleh pemilik bangunan tersebut. Sebagai contoh, enam penyewa kedai di Lorong Cheapside berdekatan Lebuh Chulia telah diarahkan untuk keluar dari premis pada Disember, 2015 yang terletak pada zone utama UNESCO. Seorang peniaga perkakas, Eng Hooi, 50 tahun menyatakan bahawa keluarganya telah lama menyewa di kawasan itu dan berniaga semenjak 100 tahun yang lalu oleh datuknya. Beliau menyatakan rasa tidak puas hati kerana tiada usaha untuk melindungi warisan, sebaliknya mengutamakan pembangunan dan pelancongan semata-mata (Sumber: Malaysia Insider) .

Khoo Salma menyatakan bahawa perlunya suatu usaha membangunkan kawasan warisan secara lestari dan terkawal bagi melindungi ‘intangible heritage’ atau warisan tidak ketara yang dapat melindungi penduduk Pulau Pinang dan kepentingan bandar itu sendiri. Hal ini kerana, pengusiran keluar penyewa-penyewa di Georgetown  akan menyebabkan warisan tidak ketara turut terancam kerana merekalah yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran seni dan budaya di kawasan Georgetown. Ini kerana, warisan Georgetown bukan sekadar seni bina bangunan sahaja tetapi penduduk asal Georgetown itu sendiri. Sekiranya nilai-nilai ini hilang bersama hilangnya penduduk asal Georgetown yang mewarisi budaya dan tradisi Georgetown dek kerana pembangunan yang tidak terkawal. Maka, tidak mustahil Georgtown itu sendiri akan kehilangan status tapak warisan dunia seperti yang berlaku kepada Arabian Oryx Sanctuary di Oman dan Drseden Elbe Valley di Jerman

Di Oman,  Arabian Oryx Sanctuary merupakan kawasan perlindungan Arabian Oryx yang terancam, ia juga menjadi tempat perlindungan haiwan seperti ‘Arabian Wolves, Nubian Ibex, Mountain Gazelle,  Honey Badgers dan kucing liar spesis Caracal. Pada tahun 2007, Arabian Oryx Sanctuary menjadi tapak warisan dunia pertama yang ditarik balik status warisan selepas minyak ditemui di kawasan tersebut yang menyebabkan hampir 90% kawasan perlindungan terjejas. Jumlah Arabian Oryx  di kawasan tersebut telah berkurangan dari 450 ekor kepada 65 ekor pada tahun itu.

Pada tahun 2009, disebabkan oleh pembinaan jambatan Waldschlösschen yang dianggap akan membahagi dua Lembah Drseden Elbe di German yang menjadi tempat perlindungan 650 ekor kelawar spesis Lesser Horseshoe. Ini  menyebabkan status warisan dunia yang diberikan kepada Germany pada tahun 2004 dan dana dari UNSECO ditarik balik.

Tahun ini,  satu lagi kawasan berdekatan tapak warisan terancam yang wujud semenjak 200 tahun di Pulau Tikus berdekatan Tokong Buddha.

Menurut penduduk disitu, penduduk Kampung Siam telah tinggal semenjak 6 generasi telah diberikan surat untuk berpindah keluar pada 23 April tahun 2014  dalam masa 30 hari. Menurut dokumen asal pada tahun 1845 semasa Syarikat Hindia Timur bagi pihak Queen Elizabeth mewasiatkan kawasan tanah disitu kepada komuniti Burma dan Siam yang tinggal di kawasan itu. Pemilikan tanah disitu sepatutnya dimiliki komuniti tersebut secara bersama dan sebarang penjualan dan pemindahan pemilikan tanah tidak boleh dibuat dan hanya digunakan untuk manafaat komuniti Burma dan Siam untuk selama-lamanya. Oleh itu penduduk disitu terkejut bagaimana tanah tersebut boleh dijual sedangkan pemilikan tanah itu seharusnya dimiliki oleh komuniti Burma dan Siam dikawasan tersebut (Sumber: Anil netto). Setelah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kampung mereka, penduduk Kampung Siam akhirnya terpaksa akur setelah rayuan mereka di Mahkamah Tinggi 23 Februari yang lalu ditolak. Kampung Siam yang merupakan tempat dimana  Noo Wan @ Wan Dee Aaroonratana, 91 tahun, mempelajari tarian Menora. ( Sumber: malaymail)

Tarian ini merupakan tarian yang berasal dari Thailand, Noo Wan merupakan seorang anak penari Menora yang terkenal yang datang ke Pulau Pinang semasa zaman pemerintahan British. Bapanya, Pa’wan Dee dan kumpulan penari yang dibawa olehnya sering dijemput untuk menari dan manjalankan ritual di tokong Buddha. Tarian Menora merupakan tarian yang menjadi warisan semenjak beribu tahun dahulu yang bukan hanya satu upacara tarian tetapi juga menjadi upacara keagamaan. Noo Wan mepelajari tarian Menora dari bapanya semenjak berusia 14 tahun. Beliau akan menghafal beratus-ratus cerita kerana tarian tersebut dipersembahkan dalam bentuk penceritaan.  Setiap tarian membawa makna dan pengajaran yang mempunyai kisah berbentuk spiritual. Di Pulau Pinang, tarian ini adakalanya dipersembahkan dalam dialek Bahasa Malaysia. Sayangnya, tarian ini semakin dilupakan dan tidak lagi dipersembahkan sepertimana di Thailand. Noo Wan mengadakan persembahan terakhirnya pada tahun 2002  ketika berumur 80 tahun  di tokong Wat Chaiya Mangkalaram sebelum bersara (Sumber: malaymail).

Selain Noo Wan, Kampung Siam juga merupakan tempat dimana moyang Noor Jahan Shamshudeen  memulakan perniagaan membuat roti canai yang menjadi tumpuan umum oleh penduduk di Pulau Tikus. Kampung ini merupakan kampung penempatan terawal orang-orang dari Siam yang berhijrah ke Pulau Pinang. Mereka membawa bersama mereka budaya dan tradisi Siam, ada juga yang berkahwin dengan penduduk tempatan  (Sumber: malaymail )

Menurut wakil rakyat Pulau Tikus, Yap Soo Huey, beliau telah cuba berbincang dengan pemilik tanah disitu iaitu Five Star Heritage Sdn Bhd untuk membenarkan penduduk-penduduk Kampung Siam meneruskan kehidupan dan perniagaan mereka. Namun, pihak syarikat tetap dengan pendirian mereka untuk membina hotel budget lima tingkat yang mempunyai 97 bilik dan 3 buah kedai. Pada September tahun lalu, Yap menyatakan bahawa beliau ingin meminta Jabatan Warisan mengazetkan kawasan tersebut sebagai tapak warisan dan menulis kepada pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang untuk mengkaji semula  status warisan bangunan-bangunan dan rumah kedai di Kampung Siam sepanjang Jalan Burmah dan Jalan Cantontment (Sumber: malaymail ).  Namun nampaknya segala usaha yang dilakukan untuk melindungi warisan, budaya dan sejarah Kampung Siam gagal menghalang arus pembangunan yang berleluasa berlaku di Pulau Pinang.

Sejarah itu ‘hidup’ selagi ada pewaris yang ‘menghidupkan’ warisannya. Jika pewarisnya berpindah atau mati, yang tinggal hanyalah monumen-monumen tinggalan sejarah. Apa yang membimbangkan ialah jika suatu hari nanti warisan dan sejarah di Pulau Pinang hanya wujud di muzium, risalah dan bangunan kosong tanpa adanya pewaris yang dapat menceritakan sejarah di Pulau Pinang itu sendiri yang wujud sebelum kedatangan Francis Light ke Pulau Pinang lagi. Pulau Pinang atau dahulunya dikenali sebagai ‘Tanjung’ didiami oleh pelbagai kaum dari serata negeri seperti Aceh,  Siam, Cina Peranakan, Peranakan Eropah atau ‘Eurasian’  dan golongan India muslim serta penduduk tempatan seawal kurun ke17 dan 18 lagi.

Hakikatnya warisan di Pulau Pinang itu sendiri seharusnya tidak terhad kepada Georgetown sahaja tetapi di kawasan-kawasan lain yang menjadi penempatan awal penduduk di Pulau Pinang juga perlu digazetkan sebagai warisan dan dilindungi oleh pihak berkuasa. Hal ini kerana, sejarah dan warisan yang ada di Pulau Pinang bukan saja menjadi tarikan pelancong tetapi juga menjadi aset untuk pengkaji sejarah dan penduduk asal Pulau Pinang menjadi ‘living heritage’ atau warisan yang hidup buat pelancong-pelancong yang datang kesini untuk mempelajari dan mengetahui sejarah, budaya dan warisan yang terdapat di Pulau Pinang sebelum ini. Sekiranya kawasan-kawasan bersejarah ini dimusnahkan dan dibangunkan menjadi butik-butik hostel dan bangunan yang mewah tanpa sempat didokumentasikan untuk kajian generasi masa akan datang. Adalah menjadi satu kerugian kepada negara yang kaya dengan khazanah budaya dan warisannya yang tersendiri tanpa sebarang usaha konservasi. Sedangkan negara-negara maju sibuk melindungi sejarah dan warisan mereka melalui pembangunan secara lestari.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s